Apa itu Darah Istihadah?
Pada umumnya, darah yang keluar dari rahim wanita
dianggap darah haid kerana lazimnya mengalir mengikut putaran bulanan.
Namun selain itu terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan darah itu
keluar tidak mengikut putarannya, maka ia dianggap darah istihadah.
Apakah itu darah istihadah? Istihadah ialah darah
yang keluar bukan pada waktu haid dan juga bukan dalam tempoh nifas.
Menurut Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin, istihadah ialah darah
yang keluar terus-menerus pada seorang wanita tanpa henti sama sekali
atau berhenti sebentar dalam sebulan.
Daripada takrif yang dikemukakan di atas, terdapat dua keadaan istihadah yaitu:
Keadaan pertama: darah yang keluar tanpa henti-henti.
Keadaan kedua: darah tidak keluar berterusan, sebaliknya berhenti seketika dan keluar semula.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.ha. bahawa Fatimah binti Abu Hubaisy berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Ya
Rasulullah, sungguh aku ini tak pernah suci, apakah aku perlu
meninggalkan solat?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tidak, itu adalah
darah penyakit. Namun tinggalkan solat sebanyak hari yang biasanya kamu
haid sebelum itu, kemudian mandilah dan lakukan solat.” (Riwayat al-Bukhari)
Manakala riwayat daripada Hamnah binti Jahsy,
ketika datang kepada Rasulullah s.a.w., dia berkata: “Ya Rasulullah,
sungguh aku sedang mengalami istihadah yang deras sekali.” (Riwayat
al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)
Bagaimana Mengenali Istihadah?
Masih ramai wanita terutamanya remaja yang masih
keliru dalam membezakan antara darah haid dengan istihadah. Jadi,
bagaimana hendak membezakan antara kedua-dua jenis darah ini? Berikut
adalah empat keadaan istihadah:
1. Darah yang keluar kurang daripada had masa minimum haid iaitu sehari semalam.
2. Darah yang keluar melebihi had masa maksimum haid yaitu 15 hari.
3. Keluar darah sebelum umur minimum haid iaitu sebelum berumur 9 tahun.
4. Darah yang keluar lebih daripada tempoh maksimum nifas iaitu 60 hari.
Hukum-hukum Istihadah
Memandangkan istihadah bukan darah haid dan
dianggap darah penyakit, maka hukum istihadah tidak menyamai hukum haid.
Wanita yang mengalami istihadah tidak perlu mandi wajib. Mandi hanya
perlu setelah tamat tempoh haid.
Bagi wanita yang berada dalam keadaan istihadah
juga, mereka tetap wajib menunaikan solat seperti biasa. Namun mereka
perlu berwuduk bagi setiap kali solat yang hendak ditunaikan. Ini
berdasarkan saranan Rasulullah s.a.w. dalam sabda Baginda yang
bermaksud: “Kemudian berwuduklah kamu setiap kali hendak solat.” (Riwayat al-Bukhari)
Perlu diingat bahawa wanita mustahadah perlu
berwuduk untuk satu solat, bukan satu wuduk untuk dua solat. Ini
bermakna, wanita mustahadah tidak boleh “menyimpan” wuduk bagi solat
Maghrib untuk digunakan dalam solat Isyak.
Selain itu, wanita mustahadah juga perlu
membersihkan darah istihadah itu setiap kali sebelum berwuduk.
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Hamnah yang bermaksud: “Aku
beritahukan kepadamu (agar menggunakan) kapas kerana kapas dapat
menyerap darah.” Hamnah berkata: “Darahnya lebih banyak daripada itu.”
Baginda bersabda lagi yang bermaksud: “Gunakan kain.” Jawab Hamnah:
“Darahnya masih banyak.” Baginda berkata lagi yang bermaksud: “Maka
pakailah penahan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Dalam konteks zaman kini, penahan yang dimaksudkan
oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah tuala wanita. Sekiranya telah
dibersihkan darah istihadah dan ditukar dengan tuala wanita yang baru,
darah tetap mengalir selepas berwuduk, maka wuduk tersebut tetap sah
untuk satu solat.
Mungkin bagi wanita yang telah berumah tangga,
mereka tertanya-tanya, apakah boleh mereka “bersama” suami? Menurut
Syeikh al-Uthaimin, ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Sebahagian
mereka berkata elok dielakkan selama mana tidak menyebabkan zina. Namun
hakikatnya, tiada sebarang larangan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan
sahabat dalam hal ini. Jadi, berdasarkan hukum wanita mustahadah
dibolehkan solat, maka Syeikh Uthaimin berpendapat bahawa mereka boleh
bersama suami.
0 comments:
Post a Comment